mutakhir

SUKSIS dan Kor Kadet calon 'pelapis' terbaik PDRM

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Beberapa program sudah dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan pegawai dan anggota dilantik menyertai pasukan keselamatan itu adalah calon terbaik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, program mencari bakat itu dijalankan PDRM di peringkat awal lagi iaitu membabitkan pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti.

Beliau berkata, menerusi program dijalankan itu ia dapat mengenal pasti individu yang berpotensi diambil sebagai pegawai kanan ataupun anggota berpangkat rendah.

"Bagi tujuan pengambilan pegawai kanan dan juga anggota pangkat rendah, PDRM sudah ada program itu di peringkat awal.

"Bagi pegawai kanan, kita ada program Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) di universiti dan mereka adalah calon yang kita rasa amat berpotensi untuk diambil sebagai pegawai kanan.

"Manakala bagi pegawai anggota rendah pula, kita ada program Kor Kadet Polis di sekolah membabitkan pelajar dari tingkatan satu hingga lima. Mereka adalah antara kelompok yang berpotensi untuk kita ambil sebagai anggota pasukan polis," katanya.

Terdahulu, beliau dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri, pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi KE-72 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, tadi.

Media sebelum ini melaporkan, PDRM dicadangkan untuk menubuhkan pasukan pencari atau 'talent scout' dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota membabitkan calon terbaik di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan pasukan itu berupaya membantu PDRM memilih calon yang benar-benar berminat dan berkeupayaan sekaligus membantu mencapai hasrat PDRM sebagai agensi keselamatan bertaraf dunia.

Sementara itu, Acryl Sani merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Mohd Ali ada kesudian penghormatan mengurniakan darjah kebesaran kepada beliau serta empat lagi pegawai kanan PDRM.

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 4:39pm
d