mutakhir

Bayi perlu dana RM50,000 untuk bedah jantung

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Ayra Inara Alif Imran baru berusia empat minggu namun bayi itu bukan sahaja diuji dengan bengkak buah pinggang malah turut mempunyai masalah jantung yang memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Bayi itu dikesan mempunyai masalah bengkak buah pinggang sedari dalam kandungan ibunya lagi dan dilahirkan secara pembedahan.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati Ayra Inara mempunyai masalah saluran darah sempit di bahagian jantung hingga menyebabkan bekalan oksigen di dalam badannya tersekat.

Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya mengetahui situasi yang menimpa daripada ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mengikut apa yang dimaklumkan masalah utama yang dihadapi bayi itu ketika ini adalah membabitkan jantung dan buah pinggang.

"Ayra Inara kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital dan perlu menggunakan bantuan pernafasan serta ubat untuk mengembangkan saluran darah jantungnya supaya bekalan oksigen dapat dibekalkan sehingga ke seluruh tubuhnya khususnya di bahagian bawah badan.

"Namun penggunaan ubat yang berterusan memburukkan masalah buah pinggang bayi itu dan bagi mengatasi masalah berkenaan, pembedahan jantung perlu dijalankan terlebih dahulu.

"Sepatutnya pembedahan Ayra Inara dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) atau Hospital Serdang di Selangor namun keadaan tidak mengizinkan kerana ia memakan masa, tambahan pula, hospital itu digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19 ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, berikutan kekangan yang dihadapi pembedahan jantung itu perlu dibuat di hospital swasta dengan kos yang dianggarkan mencecah RM50,000.

"Bagaimanapun, ibu bapa bayi itu yang masing-masing berpendapatan RM1,000 dan RM1,500 sebulan tidak mampu untuk mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan itu.

"Mereka memohon kepada pihak kami untuk membantu dan selepas membuat beberapa pengesahan berkaitan, kami bersetuju untuk membantu pasangan itu mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Ayra Inara," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 7:32pm
d