mutakhir

Melaka peruntuk RM5 juta baik pulih kemudahan

Oleh Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi membaik pulih kerosakan kemudahan di Lubok Cina, Masjid Tanah dan Sungai Rambai di sini, yang rosak akibat banjir besar, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Zaidi Attan berkata, kemudahan itu membabitkan kerja baik pulih benteng sepanjang 200 meter di Sungai Rembau, Lubok Cina dan rumah pam air di Sungai Rambai.

Menurutnya, benteng sungai di Lubok Cina itu pecah menyebabkan air Sungai Rembau melimpah sehingga kediaman penduduk dinaiki air sedalam lebih tiga meter.

Beliau berkata, rumah pam di Sungai Rambai pula akan ditambah baik bagi membolehkan keadaan air termenung di Kampung Parit Penghulu Benteng dapat disalurkan ke Sungai Kesang.

"Peruntukan menerusi Tabung Infrastruktur Negeri itu sudah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan kerja membaik pulih kerosakan akibat banjir itu akan dilaksanakan segera sebaik proses membabitkan dokumentasi selesai dalam tempoh terdekat," katanya selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, Mohd Ali dan Zaidi menyampaikan sumbangan peribadi kepada ketua keluarga mangsa banjir.

Setakat ini, seramai 26 mangsa banjir membabitkan lapan keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis dalam satu kenyataan berkata, keadaan air termenung di kawasan yang terjejas itu menyukarkan mangsa untuk pulang ke rumah masing-masing walaupun keadaan cuaca baik hari ini.

Katanya, keadaan itu disebabkan sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, selain pam serta pintu air yang perlu ditambah baik segera.

"Saya sudah berbincang dengan Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan Melaka Datuk Rahmad Mariman mengenai keperluan menambah baik pintu air di Kampung Lanchang serta rumah pam di Parit Rasah bagi mengurangkan masalah banjir.

"Alhamdulillah, saya menerima maklum balas yang positif dan saya yakin cadangan itu akan dilaksanakan segera," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 2:51pm
d