mutakhir

Tindakan terpuji anggota polis trafik [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

Putatan: Biar seragam putih tercalit kotoran, asalkan integriti tidak tercalar.

Itu gambaran dapat diberikan terhadap tindakan seorang anggota polis trafik yang sanggup turun membersihkan sampah menyebabkan longkang di tepi jalan raya di Kampung Meruntum, di sini, tersumbat, hari ini.

Tindakan Koperal Shah Erman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu bagi mengalirkan air dalam longkang supaya tidak bertakung di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, Shah Erman ketika itu sedang menjalankan tugas 'point duty' bersama dua lagi anggota, Sarjan Fadzil dan Konstabel Syazwan yang turut mengawal lalu lintas.

"Mereka menjalankan tugasan melancarkan aliran trafik di kawasan itu dan pada masa sama Shah Erman membersihkan sisa kotoran dalam longkang tersumbat yang menyebabkan air bertakung di atas jalan.

"Saya ucapkan syabas kepada Shah Erman di atas sikap positif yang ditunjukkan kepada masyarakat," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi IPD Penampang, hari ini.

Shah Erman, 35, berasal dari Kuantan, Pahang, sudah sembilan tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi hantaran itu, satu video berdurasi 2.38 minit yang memaparkan Shah Erman berada di dalam longkang untuk membersihkan sampah tersumbat turut dikongsikan kepada netizen.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 9:47pm
d