mutakhir

500 mangsa banjir terima sumbangan [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seramai 500 mangsa banjir di Kampung Bestari Jaya, di sini menerima sumbangan menerusi Program Sentuhan Kasih Prihatin X DXN di Dewan Kampung Bestari Jaya, hari ini.

Program itu hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan DXN Holdings Bhd.

Sumbangan berupa periuk nasi, dapur gas dan makanan asas itu diserahkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Penerima, Kashah Amat, 60, berkata, dia bersyukur menerima sumbangan itu yang sememangnya amat diperlukan.

"Terima kasih kepada pihak prihatin dengan nasib dialami penduduk kampung ini.

"Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga yang mengalami kerugian akibat banjir tahun lalu.

"Jika diikutkan, hampir keseluruhan barang dalam rumah musnah termasuk kelengkapan persekolahan anak," katanya.

Warga emas, Yeop Md Sanip, 75, berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya serta mangsa banjir lain.

"Harap kejadian seperti itu tidak berulang kembali kerana ia meninggalkan kesan mendalam kepada kami," katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 3:19pm
d