mutakhir

Pos Malaysia komited sasar penghantaran pada hari berikutnya

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Bhd komited untuk memberi perkhidmatan kurier terbaik dengan mensasarkan penghantaran pada hari berikutnya sebanyak 92 peratus atau lebih bungkusan diterima di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charles Brewer berkata, pihaknya kini mengendalikan sebanyak 400,000 bungkusan setiap hari iaitu dua hingga dua setengah kali ganda muatan biasa.

Menurutnya, pihaknya ingin meningkatkan ke tahap tertinggi dalam perkhidmatan mereka yang menjadi fokus utama sejak tiga hingga enam bulan lalu.

"Saya juga berbesar hati untuk mengatakan bahawa pasukan operasi kami sudah melakukan perkara itu. Ia kini menjadi sasaran penghantaran keesokan harinya untuk 92 peratus atau lebih pakej kami, di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia.

"Semasa Hari Raya berakhir, kami menyiarkan gambar gudang kami yang kosong. Semua bungkusan sudah dihantar. Walaupun kami tidak mencapai 100 peratus pada masa itu tetapi ini adalah contoh yang sangat baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan korporat ke Media Prima Bhd (MPB), di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor.

Brewer berkata, mempunyai lebih banyak kuantiti adalah bagus untuk perniagaan tetapi ia juga datang dengan cabarannya.

"Kami kini perlu mendapatkan volum (kuantiti) serta menyampaikannya secepat mungkin dan inilah cabarannya," katanya sambil menambah bahawa ini adalah keperluan utama pelanggan.

Katanya, Pos Malaysia antara lain berusaha keras dalam automasi untuk menyokong matlamat ini.

Sebagai contoh, Brewer berkata, hab utamanya di Shah Alam adalah automatik sepenuhnya.

"Kami mempunyai lebih 10,000 kurier dan posmen yang menghantar dengan senyuman serta memastikan mereka berusaha lebih keras untuk memastikan pakej dihantar dengan selamat dan tepat pada masanya," katanya.

Beliau berkata, selain itu, 126 cawangannya di seluruh negara juga dibuka tujuh hari seminggu.

"Cawangan ini juga menawarkan waktu operasi lanjutan. Bagi cawangan terpilih di Semenanjung, mereka beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam. Manakala bagi yang berada di Sabah dan Sarawak beroperasi antara 8 pagi hingga 7 malam," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 7:38pm
d