mutakhir

Duit raya syiling segenggam [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kampar: Lazimnya duit raya diisi di dalam sampul namun lain pula kisahnya bagi Nor Shazeila Zainal Abidin yang menyediakan tong berisi duit syiling khusus untuk kanak-kanak datang beraya di rumahnya.

Menariknya, kanak-kanak terbabit perlu mengambil sendiri duit syiling berkenaan dengan mengisinya di dalam plastik disediakan.

Kaedah digunakannya itu mencuri perhatian netizen selepas Nor Shazeila, 30, memuat naik video berkenaan di TikTok, baru-baru ini.

Ibu dua anak yang menetap di Kampung Pulai Bergading, Malim Nawar, di sini berkata, itu kali pertama dia menggunakan kaedah begitu dalam pemberian duit raya dan melakukannya bagi mencari kelainan selepas dua tahun tidak menerima kunjungan tetamu.

"Saya ambil inspirasi daripada emak (Rozana Kadir, 60) kerana dulu dia berikan duit raya dengan cara begitu.

"Kiranya saya ikut kaedah sama bagi mengimbau kenangan beraya zaman dulu. Lagipun, tahun ini raya mengejut jadi tidak sempat tukar banyak duit di bank lebih awal, maka guna simpanan duit syiling yang ada saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Shazeila, duit syiling itu adalah koleksi simpanannya sejak tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, dia tidak mengira berapa jumlah diletakkan di dalam tong berkenaan.

"Mengumpul duit syiling adalah hobi saya dan keluarga memang sokong minat saya itu cuma pada awalnya hanya mahu duit syiling keluaran 1992 saja.

"Oleh kerana tabung lambat penuh maka saya kumpul saja mana-mana duit syiling diperoleh dan ditemui sejak dua tahun lalu.

"Memandangkan tahun ini sudah boleh beraya seperti biasa jadi saya niatkan untuk gunakan duit syiling dikumpul sebagai duit raya untuk kanak-kanak yang datang dan tiada had berapa jumlah boleh diambil dengan syarat segenggam saja," katanya.

Shazeila berkata, dia seronok setiap kali melihat reaksi kanak-kanak ketika mengambil duit raya di dalam tong sebelum pulang.

"Ada yang teruja dan tak kurang juga yang malu-malu serta terpinga-pinga apabila diminta ambil sendiri duit raya dalam tong.

"Melihat wajah mereka, saya jadi seronok dan niat asal memang hanya untuk bersedekah memandangkan Syawal hanya sekali dalam setahun.

"Cuma, duit syiling dalam tong semakin berkurangan kerana sudah terima kedatangan tetamu sejak raya pertama lagi jadi selepas seminggu Syawal, saya beri duit raya yang diisi dalam sampul pula," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 3:03pm
d