mutakhir

Kerajaan digesa tangguh kemasukan 500,000 warga Bangladesh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa supaya meneliti semula kemasukan 500,000 tenaga kerja asing dari Bangladesh yang dijadualkan tiba bulan ini.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Datuk Ismail Awang berkata, pihaknya bersama lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beranggapan jumlah itu tinggi dan boleh menutup peluang rakyat di negara ini untuk mencari pendapatan.

"Kebimbangan kami adalah kita baru saja bergerak dari fasa pandemik ke fasa peralihan endemik selepas dua tahun terpaksa menutup sektor perniagaan dan menjalani hidup dengan normal baharu.

"Secara keseluruhannya, jumlah 500,000 itu adalah tinggi dan sudah pasti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia perlu memahami risiko penularan jangkitan Covid-19 jika tenaga kerja ini masuk secara beramai-ramai.

"Ini adalah masanya untuk kerajaan memperkenalkan dasar tenaga kerja yang lebih menumpukan kepada pekerja tempatan dan bukannya bergantung dengan pekerja asing," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya difahamkan jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) masih tinggi di negara ini dengan sebahagian besar bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan pertanian.

"Jumlah yang sedia ada ini sudah cukup menimbulkan banyak masalah kepada negara dari segi sosial dan ekonomi seperti yang berlaku di pasar borong apabila kawasan itu dimonopoli oleh peniaga warga asing.

"Justeru, kami mahu kerajaan menangguhkan dulu kemasukan itu dan mencari solusi lain yang lebih menguntungkan rakyat yang baru saja bangkit dari kemelesetan hidup akibat wabak Covid-19,"katanya.

Katanya, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta surat kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 4:54pm
d