mutakhir

Lelaki OKU gigih cari rezeki

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Biarpun berkerusi roda, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat Suhaimi Isnin, 50, untuk menjual biskut dan kerepek bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Suhaimi yang kudung kaki kiri akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, bergerak menggunakan perkhidmatan e-hailing dengan kos RM30 sehari dan menjual barang jualannya di perkarangan bank sekitar jalan Hang Tuah.

"Saya memulakan hari dengan keluar seawal jam 8 pagi dan hanya pulang ke rumah sewa di Bukit Katil, di sini, kira-kira jam 10 malam . Sebelum ini saya bekerja sebagai pengawal keselamatan namun selepas terbabit kemalangan perjalanan hidup saya berubah.

"Walaupun sukar bergerak dan sesekali kurang sihat, saya tetap keluar berniaga bagi menampung kehidupan dan tidak mempunyai pekerjaan lain," katanya yang masih bujang.

Menurutnya, biskut dan kerepek dijual pada harga RM20 hingga RM30 sebotol mendapat sambutan ramai.

"Saya bersyukur kerana orang ramai banyak memberi sokongan terhadap perniagaan kecil saya ini sehingga mampu bertahan sehingga kini.

"Saya akan terus berusaha walaupun kadang-kadang ada hari yang mencabar kerana terpaksa berpanas atau mengharungi hujan membawa barang jualan," katanya.

Hasratnya kini mahu mengumpul wang bagi menukar kerusi roda yang digunakannya kini kerana ia sudah tidak berfungsi dengan baik.

"Saya juga berhasrat mahu membeli mesin pembancuh tepung kerana mahu membuat biskut sendiri.

"Namun saya tahu dua impian ini akan mengambil masa yang lama untuk dicapai," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 6:40pm
d