mutakhir

Seorang maut, 11 cedera kemalangan tiga kenderaan

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Penoreh getah maut, manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 116 Jalan Kuala Terengganu-Kelantan dekat sempadan Bukit Yong, Besut, di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan pada 5.30 petang semalam itu membabitkan Proton Wira, Perodua Myvi serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Easter.

Katanya, dalam kejadian itu pemandu Proton Wira, Ismail Yaacob, 67, beralamat di Kampung Banggol Judah, Machang

dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kelantan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu terlanggar Perodua Myvi serta Chery Easter.

"Dua penumpang Proton Wira yang parah dibawa ke Hospital Besut dan seorang lagi penumpang kenderaan itu dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan.

"Pemandu serta tujuh penumpang Chery Easter alami cedera ringan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan, manakala pemandu serta penumpang Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 7:26pm
d