mutakhir

Pemandu SUV enggan beri laluan ambulans ada masalah pendengaran [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kampar: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dikatakan enggan memberi laluan kepada ambulans dalam keadaan siren ambulans itu dibunyikan seperti video tular di media sosial, disahkan mengalami masalah pendengaran.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan mendapati pemandu SUV itu, lelaki warga emas berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran "tinnitus-acoustic neuroma" sejak tiga tahun lalu.

"Lelaki itu masih lagi mendapatkan rawatan lanjut dari pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

"Sehubungan itu, Polis Daerah Kampar melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku di KM292 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara.

Menurutnya, polis berjaya mengesan pemandu kenderaan itu hari ini dan pemandu serta pemilik kenderaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, video berdurasi 37 saat yang dipercayai dirakam dari sudut arah ambulans berkenaan yang memaparkan insiden, tular di media sosial hingga menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang turut berkongsi paparan video itu di Facebook.

Menerusi video itu, kelihatan Honda CRV warna putih berkenaan yang dipandu di lorong kanan, enggan memberi laluan kepada ambulans yang dibunyikan siren dan berada tepat di belakang MPV itu hingga memaksa ambulans memotong di laluan kiri.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 8:02pm
d