mutakhir

Budak tiga tahun cedera disyaki didera penjaga

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lebam di muka dipercayai didera penjaga dalam kejadian di Pandan Perdana, di sini, semalam.

Kejadian pada 1 tengah hari itu terbongkar selepas jiran mereka mendengar tangisan kuat kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, jirannya itu kemudian membuat pemeriksaan badan mangsa sebelum mendapati terdapat kesan kecederaan di muka dan badan mangsa.

Menurutnya, susulan itu satu laporan polis dibuat oleh lelaki terbabit untuk tindakan selanjutnya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek berusia lingkungan 40-an disyaki mendera kanak-kanak berkenaan.

"Suspek adalah penjaga sementara kepada mangsa sejak awal Januari lalu kerana ibu bapa kandung mangsa kini sedang menjalani hukuman penjara di atas kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang, dekat sini untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 9:30pm
d