mutakhir

Tiada rakyat miskin tegar menjelang 2025 [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Tapah: Kerajaan optimis mencapai sasaran tiada rakyat miskin tegar menjelang 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sasaran itu selari berdasarkan rekod pencapaian negara dalam menjayakan pelbagai program pembasmian rakyat miskin tegar di negara ini.

Katanya, mengambil contoh China yang mengisytiharkan tiada rakyat miskin tegar, negara juga mampu mencapai sasaran sama.

"Februari tahun lalu Presiden China mengisytiharkan sudah tiada rakyat miskin tegar di negara itu.

"Jika negara terbesar dalam dunia dengan 1.4 bilion penduduk sudah dapat menghapuskan rakyat miskin tegar sejak tahun lalu, jadi kita rasa Malaysia juga boleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Gerak Mula Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dan Pelancaran Buku 'Menyemai Keazaman, Menuai Kejayaan' di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Mustapa berkata, ia diyakini mampu dicapai dengan kerjasama semua pihak dan pendekatan bagi membangunkan golongan itu menerusi pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan sejak sekian lama.

"Kalau kita tiada sasaran sampai bila-bila pun angka miskin tegar itu akan ratusan ribu, tetapi paling penting kerjasama bersepadu dengan semua pihak.

"Ini bukan program baru, sudah lebih 50 tahun kita mempunyai program ini, cuma dahulu mungkin berbeza dari segi penyelarasan, fokus dan pemantauan," katanya.

Beliau berkata, sasaran itu juga dibuat berdasarkan satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terdahulu, Mustapa menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) di antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) untuk membina keupayaan komuniti Orang Asli di Lata Kinjang sebagai projek perintis pembasmian kemiskinan dalam kalangan Orang Asli.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 6:52pm
d