mutakhir

Mengaku 'makan suap' RM5,000 [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Bekas penyelia tapak sebuah syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, tadi, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan mengesahkan dokumen berkaitan pemeriksaan tapak binaan, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zakiuddin Ridzuan, 38, dijatuhi hukuman penjara 14 hari bermula tarikh jatuh hukum dan didenda RM25,000.

Jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama enam bulan.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Rushan Lutfi Mohamed selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd Zakiuddin secara rasuah menerima daripada seorang lelaki suapan wang tunai RM5,000 sebagai dorongan untuk mengesahkan dokumen 'Request For Inspection' (RFI) yang disediakan sebuah syarikat bagi kerja pembinaan struktur saliran di Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau.

Kesalahan dilakukan antara jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang 15 Mac 2021 di sebuah restoran makanan segera di Jalan Seremban - Tampin di sini.

Dengan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 4:00pm
d