mutakhir

APMM tahan 2 bot nelayan Vietnam, rampas RM3 juta hasil laut

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM3 juta.

Kedua-dua bot itu ditahan APMM ketika Op Kuda Laut dan Op Naga Barat antara 3.20 dan 3.40 petang pada jarak 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot itu mendapati seramai 20 nelayan termasuk tekong yang berusia antara 18 hingga 54 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 1,000 liter diesel, empat tan ikan dan bot serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

"Kedua-dua bot berkenaan bersama 20 nelayan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan nelayan asing yang menghalang bot daripada dibawa ke Jeti Maritim Malaysia.

Katanya, proses membawa bot tahanan ke Jeti Maritim Malaysia mengambil masa lebih 40 jam.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:46pm
d