mutakhir

54,000 dapat manfaat Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 bagi Kluster Pelancongan Minat Khas yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 54,000 rakyat di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berkata, pelan itu merangkumi segmen taman tema, selam skuba dan inap desa.

"Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 adalah kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan membabitkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

"Ketiga-tiga inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 54,000 pengguna membabitkan penawaran pakej pelancongan dan baucar menarik dengan sasaran jualan keseluruhan bernilai RM6,753,420.

"Penganjuran kali ini membabitkan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) dan Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Program Minat Khas di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 di Wet World Water Park, di sini hari ini.

Melalui pelan pemulihan itu katanya, Keluarga Malaysia boleh mendapatkan diskaun sehingga 40 peratus dan e-baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian tiket masuk ke taman tema dan pusat hiburan keluarga berkenaan bermula hari ini sehingga 2 Oktober depan.

Nancy berkata, setiap pengguna layak melakukan penebusan maksimum tiga kali di tiga taman tema atau di pusat hiburan keluarga berlainan dan pembelian perlu dibuat melalui laman web www.tickets.matfa.org.my.

"Kempen 'Jom Dive 2.0' pula menawarkan diskaun sebanyak RM400 bagi setiap pembelian pakej selam skuba berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu transaksi melalui laman web www.xtvt.com.my.

"Tawaran ini terhad kepada 1,994 pembeli pertama berdasarkan terma dan syarat 'siapa cepat, dia dapat'.

"Di bawah kempen 'Jom Cuti di Homestay', pengguna layak menikmati rebat sebanyak RM50 hingga RM300 bagi setiap pembelian pakej berharga RM100 dan ke atas dengan penebusan maksimum sehingga tiga kali," katanya.

Menurutnya, sebanyak 150 pakej ditawarkan di portal jomhomestay.my dengan pembabitan 67 kluster pengusaha inap desa dari seluruh Malaysia dan tempoh sah laku sehingga 31 Disember ini.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pakej yang ditawarkan dengan melayari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 6:09pm
d