mutakhir

Salah guna logo halal, 20,193 kotak biskut dirampas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 20,193 kotak biskut bernilai RM906,609 dari sebuah kilang di Bukit Pinang kerana menyalah gunakan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan pada 11 pagi semalam susulan maklumat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bahawa Pensijilan Halal Malaysia syarikat ini sudah ditarik balik oleh jabatan itu sejak Mac lalu.

Beliau berkata, penarikan balik itu dibuat kerana syarikat melanggar prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang ditetapkan.

"Ini menyebabkan syarikat tidak boleh menggunakan logo halal Jakim pada kesemua produk yang dikeluarkan di kilang berkenaan.

"Dalam pemeriksaan itu, pasukan serbuan mendapati hampir kesemua produk yang siap dibungkus dan dikotakkan, masih diletakkan dengan logo halal Jakim.

"Tindakan itu adalah satu kesalahan dibawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya ketika dihubungi hari ini.

Affendi berkata, kesemua produk yang sudah dilabelkan dengan logo halal Jakim itu disita untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan makluman lisan pengurusan syarikat, syarikat terbabit sudah beroperasi lebih 10 tahun.

"Hasil siasatan mendapati, produk keluaran syarikat itu yang kebanyakannya adalah biskut sudah diedarkan untuk pasaran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Affendi berkata, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan yang pertama.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:04pm
d