mutakhir

Kompaun RM222,800 pada premis makanan degil

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 408 notis kesalahan dengan kompaun bernilai RM 222,800 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi operasi khas bersepadu yang dilaksanakan bermula kelmarin hingga semalam.

Operasi dua hari yang digerakkan Unit Inspektorat dan Perundangan, JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan semua PKD dalam negeri ini bagi menguatkuasakan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Pengarah JKNS Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, operasi berkenaan mensasarkan premis makanan yang berada di Kajang, Bangi serta kawasan sekitarnya.

"Sepanjang operasi kita memeriksa 205 premis makanan dan sebanyak 408 notis kesalahan dikeluarkan dengan kompaun bernilai RM 222,800.

"Bagi penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 37 premis makanan ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan selama tempoh 14 hari dan 283 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM 192,900.

"Bagi penguatkuasaan PPKHT 2004, sebanyak 125 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM 30,900," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sha'ari berkata, bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, notis dikeluarkan bagi kesalahan antaranya pemilik atau pekerja tidak mendapat latihan atau mempunyai sijil pengendali makanan; pelupusan sampah di premis makanan dan kebersihan diri pengendali makanan.

Katanya, bagi PPKHT 2004 pula, notis dikeluarkan bagi kesalahan antaranya merokok di tempat makan atau kedai berhawa dingin; gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan gagal mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau di kaunter yang mana hasil tembakau dipamerkan atau ditawarkan untuk jualan.

Katanya, sekiranya Orang Yang Dikenakan Notis atau ditawarkan kompaun berkenaan tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh masa yang ditetapkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:46pm
d