mutakhir

Skuad sukarelawan KBS, MBM pantau eksploitasi harga barang

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) menggerakkan belia sebagai sukarelawan di lapangan untuk memantau sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga barangan di pasaran.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, inisiatif itu diambil berikutan situasi semasa kenaikan harga barang yang berleluasa.

Kenyataan itu menjelaskan, hasil pemantauan di lapangan itu seterusnya akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan peruntukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKTA 723).

"Ini adalah selaras dengan pengumuman terkini oleh kerajaan yang membabitkan pemberian subsidi ke atas beberapa makanan asas.

"KBS yakin kerjasama strategik bersama MBM mampu menggerakkan golongan belia bagi membantu kerajaan untuk memastikan kepentingan pengguna adalah dilindungi dan terpelihara," kata kenyataan itu.

Untuk tujuan berkenaan, menurut kenyataan itu, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 8:44pm
d