mutakhir

Kerajaan jamin bekalan ayam pada harga berpatutan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengadakan satu mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu berkaitan dengan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mesyuarat akan turut dihadiri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pemain-pemain industri penternakan ayam.

Katanya, ia adalah susulan keputusan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini supaya harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

"Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperoleh dengan harga kawalan yang berpatutan.

"Bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan ini dan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ronald berkata, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang Isnin ini bagi terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 8:49pm
d