mutakhir

Kerajaan tidak akan biar rakyat ikat perut [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Pasir Salak: Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat mengikat perut dalam menghadapi isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mencari kaedah untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga.

"Kerajaan dulu... dia kata bila harga naik rakyat hendaklah ikat perut.

"Itu dulu tapi kita tak kata macam itu. Kita akan mencari kaedah supaya rakyat tidak terbeban termasuk mengekalkan subsidi barangan asas termasuk petrol dan diesel," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ismail Sabri memberi reaksi itu bagi membidas dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kenaikan beberapa harga barang.

Malah, beliau sendiri turut membuat tinjauan rambang ke premis perniagaan untuk melihat sendiri harga barangan yang dijual.

"Minggu lalu, di Masjid Jamek, Kampung Bharu sebuah parti politik pembangkang mengadakan demonstrasi.

"Berbagai tuduhan dibuat terhadap kerajaan seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan kos sara hidup meningkat.

"Fenomena kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia semata-mata tetapi global dan kita tidak terkecuali," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, dalam menangani kos sara hidup kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM70 bilion untuk barangan asas dan tiada subsidi yang ditamatkan.

Katanya, pelbagai usaha juga sedang dilakukan untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengatasi masalah itu termasuk menubuhkan beberapa jawatankuasa.

"Kita (beri) subsidi makanan dan harga ayam sebanyak RM700 juta untuk memastikan harga kekal RM8.90, minyak masak RM4 bilion supaya harga minyak pek RM2.50 kalau tak RM9.50 sekampit (untuk) sekilogram.

"Subsidi tidak ditamatkan pada 1 Julai cuma untuk 'one off' minyak botol yang diperkenalkan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sekarang sudah tamat (PKP) jadi tak perlu lagi tapi mereka mengatakan kita tak buat apa-apa," katanya yang turut meminta masyarakat supaya tak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang.

Disiarkan pada: July 3, 2022 @ 3:50pm
d