mutakhir

Cari pasal tiru kereta polis

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Padah mengubahsuai kereta menyerupai kenderaan polis, seorang peniaga yang menyertai pameran kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berumur 43 tahun yang berniaga aksesori kenderaan ditahan pada jam 10.30 malam selepas kereta terbabit viral di TikTok.

Katanya, penahanan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang selepas melakukan pemerhatian di pusat pameran itu dan merampas kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis.

"Kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan lengkap dan digunakan oleh pemiliknya.

"Pemilik kenderaan telah dibebaskan pada 12 tengah malam dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tugas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Unit Perhubungan Awam Bukit Aman mengesan video viral yang memaparkan kenderaan pameran di Maeps Serdang berlangsung semalam hingga hari ini, yang menyerupai kenderaan polis di TikTok.

Disiarkan pada: July 3, 2022 @ 5:11pm
d