mutakhir

Remaja dikhuatiri lemas dihanyutkan 'kepala air'

Oleh Juwan Riduan

Keningau: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai bersama tiga ahli keluarganya di sungai di Jalan Tulid, Sook, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 7 malam ketika mangsa Kenn Mohd Alfiandar Angkorou@Abdula, 17, bersama bapa, adik dan anak saudara cuba menyeberangi sungai namun secara tiba-tiba berlaku kejadian 'kepala air'.

Tiga daripada mereka selamat manakala mangsa dihanyutkan arus deras sungai dan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.33 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan setakat ini mangsa belum ditemui.

"Operasi SAR ditangguh pada jam 6.30 petang tadi dan akan disambung pada pagi esok," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 9:42pm
d