mutakhir

Angin kencang luar biasa landa Pantai Geting

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Kejadian angin kencang yang berlaku di Pantai Geting di sini sebentar tadi menimbulkan suasana cemas dan ramai pengunjung yang berada di kawasan peranginan itu lari menyelamatkan diri.

Kejadian itu juga menyebabkan beberapa khemah sempena program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat rosak dan diterbangkan angin manakala sebuah khemah besar turut ranap.

Difahamkan juga persembahan dikir barat yang menjadi acara kemuncak kepada program itu juga terpaksa dibatalkan malah beberapa hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal yang sepatutnya diumumkan malam ini turut tergendala.

Menurut seorang peniaga air, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, kejadian itu berlaku kira-kira 7 malam dengan keadaan cuaca berubah menjadi kelam menandakan akan berlaku hujan.

Dia berkata, semua peralatan menjual air balangnya segera dikemaskan kerana risau melihatkan awan yang hitam luar biasa menandakan akan berlaku kejadian angin kencang.

"Sebaik saya selesai mengemas perkakas berniaga, kepala angin datang dari arah pantai menuju ke daratan dan menerbangkan semua termasuk khemah yang terpasang.

"Keadaan menjadi huru hara kerana orang ramai panik sambil berlari menyelamatkan diri dan nasib baik ketika itu pengunjung sudah tidak ramai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Sapiah berkata, angin kencang disusuli dengan hujan lebat itu berlaku hampir setengah jam sebelum keadaan kembali tenang.

Dia berkata, sejurus selepas itu, kelihatan petugas program dan pekerja yang berkaitan segera mengemas segala peralatan termasuk menanggalkan khemah walaupun sudah koyak.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Aizat, 30, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri serta seorang anak berjalan ke kereta kerana ingin pulang selepas beriadah di pantai itu.

"Melihatkan keadaan awan yang mendung seakan ingin hujan, kami segera bersiap untuk pulang dan ketika hampir tiba di kereta, angin kuat datang secara tiba-tiba dan situasi nampak kelam kabut.

"Kami terus masuk ke dalam keret namun tidak berani meneruskan perjalanan kerana risau ditimpa pokok atau sebagainya sebaliknya terus menunggu sehingga keadaan perlahan-lahan reda," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 10:49pm
d