mutakhir

Empat beradik satu jiwa

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Peribahasa sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk sesuai menggambarkan hubungan empat adik beradik yang sama-sama melalui detik manis dan pahit sepanjang bergelumang dalam bidang membaik pulih kenderaan sejak 15 tahun lalu.

Sepanjang tempoh terbabit, mereka berempat, Ridzuan Abdullah, 31, Masyitah, 37, Fauzi, 40, dan Nizam, 45, cekal dan bersatu hati walaupun diuji pelbagai cabaran dan dugaan sebelum mereka mengorak langkah dalam kerjaya sebagai mekanik.

Hubungan famili utuh berlatarbelakang dari keluarga penoreh getah menjadikan keempat-empat beradik bijak menjaga hubungan seiring kerjaya yang mereka bina selama ini.

Dalam kalangan mereka, Fauzi yang juga anak kelima daripada sembilan adik beradik menjadi tunjang atau sifu kepada tiga adik beradiknya kerana dia yang mencetuskan idea untuk menceburi kerjaya terbabit.

Fauzi berkata, selepas tamat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, dia mengikuti latihan dalam bidang automatif selama setahun di Pusat GiatMARA Slim River, Perak.

Menurutnya, kerjaya dalam bidang mekanik bermula apabila dia mula bekerja di bengkel kenderaan selama tiga tahun dan selepas itu menimba pengalaman di pusat servis kenderaan juga selama tiga tahun.

"Selama enam tahun pelajari ilmu teori dan praktikal membaiki pelbagai kenderaan menyebabkan saya rasa dah tiba masa berdikari dengan membuka bengkel sendiri.

"Berbekalkan ilmu dan pengalaman dan dorongan dari kedua-dua ibu bapa, Abdullah Saad dan Che Ragayah Harun, saya tekad membuka bengkel di depan rumah di Taman Slim Permai," katanya.

Pada awal pembabitannya, hanya rakan dan jiran yang berdekatan menjadi pelanggan.

Tanpa disedari, usahanya menarik minat tiga lagi adik beradik lain untuk menceburi kerjaya sama.

Sementara itu, Nizam yang juga anak ketiga berkata, dia bekerja sebagai penoreh getah sebelum memilih kerjaya sebagai mekanik demi kelangsungan hidup.

Katanya, disebabkan harga getah tidak menentu akibat krisis pasaran dan ekonomi antarabangsa menyebabkan pendapatannya sebagai penoreh merosot.

"Apabila melihat keadaan hidup saya kurang stabil lantas adik saya, Fauzi mengajak saya turut serta dalam bidang mekanik.

"Walaupun pada awal pembabitan saya agak sukar mempelajari ilmu membaiki kenderaan namun dengan bimbingan adik akhirnya dapat menguasai bidang terbabit," katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia diberi kerja mudah seperti menukar minyak pelincir dan sebagainya dengan pemantauan serta seliaan yang agak ketat.

Anak bongsu, Ridzuan pula mengakui keadaannya sama dengan abangnya, Nizam ketika pertama kali menjejak kaki di bengkel.

Katanya, pada peringkat awal agak sukar mengikuti rentak kedua-dua abangnya dalam membaik pulih kenderaan kerana mereka mempunyai disiplin tinggi.

"Sehingga kini, saya tidak menyalahkan mereka dalam membentuk saya sebagai mekanik kerana apa jua mereka lakukan untuk kebaikan masa depan saya.

"Abang selalu berpesan, buat kerja perlu teliti dan jangan leka kerana kerjaya mekanik membabitkan nyawa dan keselamatan pengguna di jalan raya," katanya.

Akibat sambutan diterima daripada pelanggan terutama pelanggan dari luar kawasan perumahan semakin meningkat lalu mereka mengambil keputusan memindah bengkel ke bangunan premis perniagaan dikenali 4G Auto Service di Persiaran Slim Permai, Taman Slim Permai, Slim River, Perak.

Manakala, Masyitah pula mengakui mula bergabung kerjaya dengan adik beradiknya bagi membantu urusan pesanan dan pengurusan kewangan bengkel.

"Walaupun pada awalnya nampak mudah namun selepas memulakan tugas baru saya sedar kewangan nadi segalanya yang menentukan jatuh atau bangun sesebuah perniagaan.

"Saban hari, saya perlu bijak mengawal aliran masuk dan keluar wang secara cekap," katanya.

Masyitah berkata, dia mengagumi semangat ditunjukkan adik beradiknya terutama abang, Fauzi yang bijak menyusun atur kerjaya dan hubungan keluarga.

"Saya bersyukur walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, kerjaya yang kami bina bersama dengan hasil kudrat sendiri tetap berdiri teguh sehingga hari ini," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:00am