mutakhir

Fasa 2 kerja mitigasi tangani hakisan Pantai Batu Feringghi mula akhir Ogos [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Fasa 2 kerja-kerja mitigasi jangka sederhana bagi menangani hakisan tebing di Pantai Batu Feringghi, di sini, dijangka bermula akhir bulan ini.

Ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri membabitkan pantai awam sepanjang 180 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, fasa 2 berkenaan adalah susulan kerja fasa pertama berikutan hakisan berhampiran Hotel Shangri-La Golden Sands, di sini.

"Pihak kontraktor kini masih menunggu bahan yang dipesan yang dijangka diperoleh akhir bulan ini dan kerja fasa 2 akan dilaksana segera selepas itu.

"Pihak terbabit juga sudah memohon peruntukan kerajaan bagi kerja pembaikan jangka panjang kerana kosnya yang tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zairil berkata, walaupun fenomena ombak besar berlaku setiap tahun tetapi hakisan berkenaan dipercayai bertambah buruk berikutan faktor perubahan iklim.

"Mengenai hakisan pantai berhampiran hotel, ia adalah di bawah tanggungjawab pengurusan hotel berkenaan.

"Pihak berkenaan juga sudah melantik perunding bagi mengkaji pelan mitigasi bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai hakisan tebing di Pantai Batu Feringghi yang semakin buruk dan dibimbangi membahayakan orang ramai selain menimbulkan persoalan mengenai pantai awam itu bakal lenyap jika keadaan berterusan.

Pada Februari lalu, sebuah menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) setinggi 10 meter yang terletak di pesisir pantai itu, tumbang pada 3.40 pagi berikutan hakisan berkenaan.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 10:59am
d