mutakhir

Dipukul pelajar senior hingga pecah gegendang telinga

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah menengah kebangsaan berasrama di Bandar Kemaman mendakwa dibuli dan dipukul sekumpulan senior dalam kejadian 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit membuat laporan polis pada 27 Ogos.

Menurutnya, laporan pertama dibuat pelajar berusia 14 tahun yang mendakwa dipukul sekumpulan pelajar sehingga menyebabkan gegendang telinga sebelah kanan pecah serta lebam di badan.

"Pada tarikh sama, dua lagi pelajar berusia 13 dan 15 tahun hadir ke Balai Polis Chukai turut membuat aduan mereka dipukul sehingga lebam di badan.

"Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan petang ini.

Hanyan berkata, kejadian buli dan pukul itu berlaku dipercayai akibat perasaan tidak puas hati pelajar senior selepas mangsa dikatakan mengadu kegiatan menghisap vape kepada guru.

"Sehingga jam 3.30 petang ini, seramai 11 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun yang tinggal di sekitar Bandar Chukai ditahan.

"Kesemua mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

Hanyan berkata, beliau berharap pihak pengurusan sekolah dapat memantau dan mengawasi kejadian seumpama itu supaya tidak lagi berlaku.

"Kita juga berharap pihak sekolah segera melaporkan kepada polis sebaik berlaku sesuatu kejadian buli sebegini," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2022 @ 5:15pm
d