mutakhir

Rebut anak rupanya...

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis mengesahkan insiden seorang murid perempuan yang dilarikan di hadapan sebuah sekolah, di sini semalam bukan kes culik seperti didakwa rata-rata warganet selepas melihat video tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita pada 1.30 tengah hari semalam memaklumkan cucunya berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantunya dengan menaiki sebuah kereta.

Menurutnya, pada masa sama terdapat satu video tular yang menyangka ia adalah kejadian culik.

"Siasatan polis mendapati ia bukan kes culik sebaliknya ia adalah disebabkan perebutan anak (mangsa) yang mana insiden itu berlaku selepas kanak-kanak terbabit pulang dari sekolah.

"Dalam kejadian ini, pengadu (nenek mangsa) yang mengalami kecederaan datang ke balai polis untuk membuat laporan bagi siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, perebutan hak penjagaan kanak-kanak itu berlaku sejak ibu bapa mangsa berpisah pada 2013 dan proses tuntutan masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

"Suspek juga turut membuat laporan polis menyatakan mangsa kini selamat berada di bawah jagaannya dan menyerahkan perkara ini kepada pihak peguam serta polis bagi menjalankan siasatan.

"Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berkaitan video yang telah tular," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular dua klip video masing-masing bedurasi satu minit 30 saat yang dimuatnaik seorang pemilik akaun Facebook (FB) di media sosial berhubung insiden berkenaan.

Video pertama memaparkan seorang wanita tersembam di atas jalan ketika cuba berlari mendapatkan semula cucunya yang ketika itu ingin dibawa lari bekas menantunya dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam.

Sementara, video kedua memaparkan suami wanita itu turut pergi ke arah kereta terbabit untuk menghalang bekas menantunya membawa lari kanak-kanak berkenaan.

Disiarkan pada: September 30, 2022 @ 11:27pm
d