mutakhir

PM dahului senarai penerima darjah kebesaran Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 846 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Sambutan Harijadi Ke-86, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Ismail Sabri adalah penerima tunggal darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) yang membawa gelaran 'Datuk Patinggi'.

Dua lagi dianugerahkan darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran 'Datuk Amar.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' pula dianugerahkan kepada lima penerima iaitu Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain serta tokoh korporat Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg, Datuk Abdul Wahab Dollah dan Datuk Wong Kie Yik.

Sementara itu, tujuh lagi menerima Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk'

Mereka ialah Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sarawak, Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Juanda Jaya, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu' pula dianugerahkan kepada 10 penerima iaitu Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak, Saferi Ali, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Hee Chang Kee,

Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak, Nicholas Sia, Pengarah Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak, Dr Lulie Melling, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Abdul Hadi Abdul Kadir.

Turut menerima darjah yang sama, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Azlan Ali Badri, Peguam Kanan Sarawak, John Wayne Chamberlin Sirau, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah, Monaliza Zaidel serta Setiausaha Eksekutif Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak, Mohamad Junaidi Mohidin.

Seramai 11 lagi dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Dato'.

Mereka ialah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Dr Alwi Abdul Wahab, bekas Datuk Bandar Kuching Utara, Madehi Kolek, ahli korporat, Su'ut Suhaili, Khaider Ahmad Zaidel, Chia Chu Fatt, Nunong Dandan, Ivan Tan Book Kiat, Dr Jeniri Amir, Sim Kheng Boon, Sapuan Ahmad, Heng Heyok Chiang, Fabian Wong Boon Soon, Georgia Apphia Ngau, Amir Abdillah Shaharuddin.

Turut dianugerahkan darjah PSBS (Posthumus), ketua masyarakat Iban yang dibunuh pengganas komunis pada

25 Februari 1972, mendiang Penghulu Imban Medan.

Selain itu, seramai empat orang menerima pingat Johan Bintang Sarawak (JBS), lima orang menerima Johan Perkhidmatan Cemerlang (JPC), 25 menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 28 menerima Pegawai Bintang Sarawak (PBS), 67 Pegawai Bintang Kenyalang (PBK), 122 Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB), 126 Ahli Bintang Sarawak (ABS), 95 Ahli Bintang Kenyalang (ABK), 184 Pingat Perkhidmatan Terpuji dan 149 orang menerima Bentara Bintang Sarawak (BBS).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sarawak itu berlangsung di Hotel Meritz di Miri, hari ini.

Disiarkan pada: October 8, 2022 @ 8:29am
d