mutakhir

PRU-15: Kenal pasti PPS alternatif [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis akan mengenalpasti pusat pemindahan sementara (PPS) alternatif yang terdekat sekiranya premis berkenaan terpaksa digunakan sebagai pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi JPBN Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, terdapat 120 PPS di seluruh Perlis yang mana 102 daripadanya adalah sekolah.

"Namun, disebabkan jangkaan kita akan berlaku PRU dalam tempoh terdekat maka penyelarasan akan diadakan antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sekolah mana yang diperlukan untuk pusat mengundi dan PPS alternatif .

"Penyelarasan ini akan diperhalusi terlebih dahulu selepas kita mendapat maklumat daripada SPR berhubung tarikh penting PRU," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBN Perlis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud yang bertindak sebagai Sekretariat JPBN.

Katanya, memang ada kemungkinan sekolah yang sudah disiapkan sebagai PPS terpaksa dijadikan sebagai pusat pengundian.

"Tidak semestinya juga PPS yang ada ini akan ditutup tetapi sekurang-kurangnya apabila berlaku pertembungan pada hari mengundi dan keperluan untuk memindahkan mangsa banjir, kita akan sediakan alternatif kepada PPS.

"Mangsa banjir mungkin akan dihantar ke PPS terdekat atau dewan orang ramai atau balai raya yang tidak digunakan untuk tujuan mengundi sebagai PPS gantian," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata, pihaknya juga kini memantau 20 kawasan 'hotspot' di negeri itu yang sering mengalami bencana banjir termasuk banjir kilat apabila hujan kerap.

"Jika sebelum ini terdapat antara 40 hingga 54 kawasan 'hotspot' banjir di negeri ini.

"Namun, kita melakukan pendekatan holistik sebelum tiba musim Monsun Timur Laut dengan menggerakkan pelbagai agensi kerajaan untuk membersih longkang, parit dan terusa supaya laluan air tidak terhalang menjadikan kawasan 'hotspot' banjir di negeri ini menurun sekitar 20 kawasan sahaja.

"Selain itu projek tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai dengan melebarkan sungai dan parit termasuk meluruskan parit dilakukan supaya risiko berlaku banjir dapat dikurangkan jika berlaku kenaikan air pada musim tengkujuh," katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti di Kangar adalah di Taman Kemajuan, Taman Guru Jaya, Kampung Wang Bintong, Kampung Wang Besar, Kampung Abi, Taman Semarak, Taman Bukit Kubu dan Kampung Nelayan di Kuala Perlis.

Kawasan di Arau adalah Kampung Panggas, Kubang Tiga, Kampung Batu Bertangkup, Ulu Pauh, Kampung Titi Besi, Pekan Arau, Batas Liku dan Kampung Guar Gajah.

Sementara di Padang Besar pula adalah Kampung Titi Tinggi, Felcra Lubuk Sireh dan Pekan Padang Besar.

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 11:58pm
d