mutakhir

Sultanah Kelantan dahului senarai 769 penerima darjah kebesaran, pingat [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah mendahului senarai 769 penerima pengurniaan kehormatan kebesaran negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-53 dengan dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan.

Dalam istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar, hari ini, Nur Diana Petra dikurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Al-Yunusi (DK) diikuti Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Che Puan Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra dikurniakan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Penerima seterusnya adalah Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra yang dikurniakan gelaran Tengku Bendahara Kelantan.

Dalam istiadat yang sama, Che Puan Sofie Louise bersama Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dari Brunei Darussalam menerima SPMK yang membawa kepada gelaran Datuk.

Tiga individu yang dikurniakan darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran datuk adalah Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato' Nik Abdul Kadir Nik Mohamad; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut menerima gelaran Datuk adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin yang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).

Penerima tunggal bagi darjah Seri Paduka Jasa Mahkota Kelantan (SPJK) yang membawa kepada gelaran Datuk ialah mantan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Seramai 12 penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Husin serta bekas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tujuh penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) termasuk Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid; Pengarah Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Artileri, Brigedier Jeneral Datuk Zulmajdi Yunus dan Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Abu Hasan Assha'ari Kamis@Shaffiee.

Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), seramai 18 penerima menerima gelaran Datuk antaranya Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Abdul Haris Muhammad; bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Dua penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) dan yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Disiarkan pada: November 12, 2022 @ 1:48pm
d