mutakhir

Tilam, stroller bayi ganggu proses pendalaman Sungai Klang [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sampah besar dan kuantiti banyak termasuk tilam bersaiz besar, kereta sorong bayi, tayar besar antara yang ditemui tersangkut pada mesin pengorek (dregder) yang digunakan dalam projek pendalaman serta pelebaran hilir Sungai Klang sejak dua minggu lalu.

Projek membabitkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) itu dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha mengurangkan risiko banjir seperti yang berlaku Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Izham Hashim berkata, sampah antara faktor yang mengganggu projek berkenaan, namun mensasarkan kawasan sensitif dapat diselesaikan dalam tempoh kurang setahun.

"Masalah besar kita adalah sampah dalam kuantiti banyak sebab 20 tahun tidak dikorek, lapisan demi lapisan (sampah) itu mengganggu kelancaran projek pendalaman sungai ini.

"Semalam difahamkan tayar masuk terus dalam mesin pengorek, apabila sangkut kerja pengorekan terpaksa dihentikan dan sampah perlu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, kita sasarkan dalam tempoh enam bulan ini, kawasan sensitif dan cetek ini dapat diselesaikan dari segi kedalaman sungai ini," katanya dalam sidang media selepas meninjau kerja pendalaman sungai itu di Kota Kemuning di sini hari ini.

Izham berkata, pihaknya juga turut menambah sebuah lagi mesin pengorek bersaiz lebih besar dalam usaha meningkat keupayaan projek pendalaman dan pelebaran sungai berkenaan.

"Dalam minggu depan kita akan dapat satu lagi dregder untuk ditempatkan di blok satu. Blok satu adalah blok di muara sungai dekat dengan laut.

"Dalam tempoh dua minggu ini, setiap hari kira-kira 20 meter hingga 50 meter berjaya dikorek.. sampah banyak tersangkut, sebab itu kita tambah 'dregder' dan akan ditambah lagi bergantung pada keadaan.

"Ramai yang pandang isu sampah tidak penting tetapi ia mengganggu kerja-kerja pembaikian sungai, saliran, pengairan juga operasi pam kita," katanya.

Katanya, projek yang diuruskan oleh Menteri Besar Selangor (Incorporated) menerusi anak syarikatnya, Landasan Lumayan Sdn Bhd itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Disiarkan pada: November 16, 2022 @ 3:33pm
d