mutakhir

PRU-15: Kemenangan bukti gabungan BN, PH diterima masyarakat [METROTV]

Oleh BERNAMA

Rompin: Kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman merupakan bukti nyata penerimaan rakyat terhadap kerjasama gabungan politik itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Pahang.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kejayaan itu juga menunjukkan masyarakat sudah melihat rasional keputusan parti membentuk kerajaan negeri bersama PH, yang pertama kali berlaku, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kerjasama itu dibuat bagi membentuk kerajaan negeri apabila keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi di DUN Pahang selepas BN menang 16 kerusi, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH menguasai lapan kerusi.

"Sudah tentu masyarakat boleh terima kerana jika tidak, mana mungkin kita boleh menang... saya telah jelaskan beberapa kali kerajaan negeri harus ditubuhkan (dengan kerjasama antara BN dan PH) supaya kita dapat melaksanakan tugas untuk rakyat.

"Sekiranya kerajaan negeri tidak dapat ditubuhkan, kerajaan negeri akan tergantung dan pihak yang rugi adalah rakyat," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.

Pada pilihan raya itu, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain mempertahan DUN Tioman dengan majoriti 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada PH mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) hanya memperoleh 58 undi.

Wan Rosdy berkata keputusan bekerjasama dengan PH di Pahang juga adalah selari dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang disifatkan dapat memudahkan perancangan kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang itu turut melahirkan keyakinan Mohd Johari dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan berkhidmat dengan baik kepada penduduk Tioman.

Sementara itu, Mohd Johari juga senada apabila menyatakan bahawa kemenangan dengan kerjasama PH bermaksud masyarakat mahukan sebuah kerajaan yang boleh membawa kestabilan politik dan ekonomi di Pahang.

"Saya juga berterima kasih kepada Pengerusi BN Pahang kerana banyak membantu dan telah mewujudkan kerjasama erat demi kepentingan dan kestabilan," katanya.

Mohd Johari turut berterima kasih kepada pimpinan BN dan UMNO negeri serta Pusat selain jentera yang bertungkus lumus membantu perjalanan kempen beliau.

Proses pengundian bagi DUN Tioman diadakan hari ini selepas ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 11:29pm