mutakhir

PRU-15: Cikgu Azman tekad jadi pembangkang berwibawa di Dewan Rakyat [METROTV]

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin beriltizam untuk sebaris dengan pimpinan parti itu dan menjadi pembangkang yang berwibawa di Dewan Rakyat.

Beliau yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 16,260 undi, mengalahkan lima calon termasuk saingan terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak juga mahu memastikan hak warga Padang Serai terjamin.

"Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) dan wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak tanduk kerajaan campuran PH-BN (Barisan Nasional).

"Saya juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen kelak dan memastikan yang suara dan hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin," katanya dalam kenyataan selepas disahkan memenangi pilihan raya kerusi itu, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas yang dikenali Cikgu Azman itu memperoleh 51,677 undi, jauh meninggalkan Mohamad Sofee yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

Sivaraajh sebelum ini menarik diri bagi memberi laluan kepada PH dalam pilihan raya itu susulan pembentukan kerajaan perpaduan, namun namanya masih kekal dalam kertas undi berdasarkan peraturan pilihan raya.

PH dengan bantuan Bersatu, berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Serai ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menerusi calonnya, M Karupaiya.

Karupaiya, 69, dicalonkan semula oleh PH untuk mempertahankan kerusi itu, namun meninggal dunia tiga hari sebelum hari mengundi 19 November lalu, menyebabkan pilihan raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke hari ini.

Dengan kemenangan Azman, PN yang menolak menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi pembangkang, kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Azman berkata, kemenangannya bukti rakyat menolak pembentukan kerajaan antara PH dan BN, selain manifestasi penolakan terhadap lantikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Sehubungan itu, beliau berpandangan Anwar perlu menyelami mesej yang disampaikan majoriti rakyat Padang Serai dan berhati-hati dalam sebarang keputusan yang diambil.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 12:16am
d