mutakhir

Tindakan tegas berterusan JPNP kurangkan pencerobohan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bentong: Rondaan berterusan dan mempergiatkan operasi bersepadu menjadi faktor utama banyak kes pencerobohan hutan simpan di negeri ini dapat ditumpaskan dengan berkesan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, usaha secara berterusan itu dilakukan anggota Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Barat dan Pahang Timur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (Unified).

"Kita akan terus mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan dengan melakukan aktiviti rondaan secara berjadual selain menggunakan kemudahan dron termasuk satelit.

"Menerusi tindakan tegas yang dilakukan secara berterusan kini kegiatan berkenaan semakin berkurangan," katanya, di sini.

Mohd Hizamri berkata, kerjasama masyarakat setempat yang kini semakin mengambil berat terhadap alam sekitar dan sayangkan hutan turut membantu jabatan menangani masalah pencerobohan hutan.

Katanya, mereka kini berani tampil memberi maklumat berhubung kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan.

Mohd Hizamri berkata, banyak kes terutama di kawasan pedalaman dapat ditumpaskan selepas mendapat maklumat penduduk setempat termasuk Orang Asli, dan serbuan akan dilakukan sebaik menerima maklumat.

"Aktiviti menceroboh hutan simpan di negeri ini bukan sahaja untuk aktiviti mengambil balak, rotan dan buluh tetapi turut membabitkan kegiatan melombong galian seperti emas secara haram.

"Kegiatan melombong emas secara haram sebelum ini banyak berlaku di beberapa hutan simpan di Rompin, Lipis, Raub dan Jerantut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPNP sudah menjalankan 3,647 aktiviti rondaan bagi menyekat pencerobohan hutan simpan di negeri ini dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Turut diadakan lima operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain.

"Menerusi operasi dan rondaan, kami berjaya mengesan sebanyak 33 kes kesalahan hutan," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 7:00am
d