mutakhir

RM1.8 juta lagi diperlukan untuk bantu selamatkan Reese Tan

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Hanya RM1.8 juta lagi diperlukan bagi membolehkan pesakit Atrofi Otot Spina (SMA)', Reese Tan yang berusia 17 bulan, untuk mendapatkan suntikan Zolgensma yang bernilai RM9 juta.

Dalam tempoh enam hari saja, sejumlah RM7.2 juta sudah dikutip dan jumlah diperlukan dijangka mencukupi dalam masa terdekat.

Pengerusi 'One Hope Charity and Welfare' Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya masih mendapat pelbagai pertanyaan daripada orang awam yang bertanyakan mengenai kewajaran membeli ubat berkenaan.

"Kos ubatan genetik Zolgensma berharga RM9 juta untuk satu dos. Harga ini menyebabkan ramai terkejut bahkan ia menjadi topik hangat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, selepas diberi penjelasan, ramai yang faham. Reese Tan disahkan menghidap SMA jenis kedua dan kaedah paling sesuai bagi mengubati penyakit genetik ini adalah dengan rawatan suntikan Zolgensma.

"Ubat ini mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA), termasuk menjadi ubatan genetik utama dalam merawat SMA," katanya pada kenyataan hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, suami isteri iaitu Rachel Chung, 38, dan Jason Tan, 47, buntu bagi mencari dana untuk mengubati penyakit genetik anak bongsu perempuan mereka.

Penyakit genetik itu antara yang jarang berlaku dan memerlukan kos sangat tinggi bagi mendapatkan ubatan yang diperlukan.

Penyakit itu menyebabkan Reese tidak dapat merangkak, berdiri atau berjalan seperti kanak-kanak lain, sebaliknya hanya mampu meniarap sahaja.

Reese juga ada kalanya sukar bernafas, tidak dapat mengunyah makanan dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Keterangan lanjut untuk membantu boleh diperoleh dengan melayari www.onehopecharity.org.

Disiarkan pada: December 20, 2022 @ 2:27pm
d