mutakhir

Dos penggalak syarat kelayakan tunai haji tular di media sosial adalah palsu

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mesej palsu berhubung syarat kelayakan jemaah haji tahun ini yang tular di media sosial.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan kriteria dan syarat kesihatan jemaah haji antarabangsa bagi musim haji 1444H/2023M selepas kerajaan Arab Saudi membuat ketetapan.

"Pengumuman itu akan dimaklumkan menerusi platform komunikasi rasmi TH saja.

"Kita menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mesej tidak sahih yang tular di media sosial baru-baru ini tentang kriteria dan syarat kelayakan kesihatan bagi bakal haji," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kriteria dan syarat itu akan mengambil kira keselamatan jemaah haji negara dan keadaan di Arab Saudi.

"Ia juga akan mengambil kira nasihat dan panduan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila lawati www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

Baru-baru ini tular, mengenai gerakan memboikot serta mengajak pendeposit mengeluarkan simpanan di TH berikutan penetapan syarat jemaah haji tahun ini perlu lengkap dos penggalak.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 5:05pm
d