mutakhir

Muslim Care Malaysia hantar misi bantuan ke Turkiye, Syria

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sepang: Tiga wakil pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas ke Turkiye, hari ini dalam misi bantuan kemanusiaan gempa bumi Turkiye dan Syria.

Misi MCM selama tujuh hari itu disertai oleh Timbalan Pengerusi MCM, Mohd Johari Ismail dan Exco Pendidikan, Ustaz Muhammad Nazmi Abd Karim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Rombongan itu turut disertai wartawan dan jurugambar Harian Metro mengambil penerbangan ke Istanbul dan menuju ke wilayah Andana.

Mohd Johari berkata, destinasi misi kali ini ialah di wilayah Hatay, satu daripada kawasan yang menerima impak teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 skala Richter pada kira-kira jam 4 pagi dan 1 petang waktu tempatan Isnin lalu.

"Bagaimanapun, kami akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana kerana lapangan terbang Hatay ditutup akibat berlaku kerosakan ketika gempa bumi.

"Jarak di antara Adana dan Hatay kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam," katanya ketika ditemui di KLIA.

Beliau berkata, Hatay, wilayah paling selatan Turkiye dan bersempadan dengan Syria di sebelah selatan dan timur, mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta orang.

"Menurut satu laporan berita, lebih 50 peratus kawasan kediaman musnah akibat gempa dan satu atau dua orang meninggal dunia daripada setiap keluarga," katanya.

Menurutnya, antara sumbangan awal yang akan diusahakan pihaknya ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa.

Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wajihan berkata, sebelum ini Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib bersama beberapa sukarelawan sudah lebih awal berada di Hatay iaitu pada hari kejadian, Isnin lalu.

"Alhamdulillah MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang paling awal turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan," katanya.

Sumbangan turut boleh disalurkan melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.

Disiarkan pada: February 9, 2023 @ 12:54am
d