mutakhir

Silap hantar mayat, adakah kerajaan akan mohon maaf?

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen kerajaan membangkitkan persoalan adakah kerajaan akan meminta maaf kepada ahli keluarga tahanan berhubung kesilapan tertukar identiti mayat di Hospital Sungai Buloh pada 3 Mac lalu.

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) ketika membahaskan Bajet 2023 turut mempersoalkan adakah keluarga tahanan itu akan dibayar pampasan selepas berbelanja ribuan ringgit sebagai persediaan mengebumikan mayat yang bukan anak mereka.

"Adakah kerajaan rela untuk meminta maaf kepada keluarga yang anak mereka belum meninggal dunia tetapi dikatakan telah meninggal dunia?

"Membayar pampasan dan mengambil tindakan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri terkejut dan bingung apabila anak mereka yang mahu disemadikan selepas meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh akibat kegagalan paru-paru 'hidup' semula.

Tahanan itu yang meninggal dunia pada 2 Mac sudah dibawa peluang dari Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan ketika urusan menyemadikan mendiang, ahli keluarga menerima panggilan dari Penjara Sungai Buloh memberitahu anak mereka masih hidup.

Keluarga berkenaan bukan hanya tidak mengetahui mayat siapakah yang dibawa pulang malah berbelanja ribuan ringgit sebagai persediaan mengebumikan mayat yang bukan anak mereka.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 7:30pm
d