mutakhir

Pengasuh tular kasari bayi direman empat hari

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Pengasuh sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai yang disyaki mengasari bayi di premis berkenaan, direman empat hari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret R Salini ke atas suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

Suspek tempatan yang dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna jingga itu akan ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan suspek itu kira-kira jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.

"Mangsa adalah bayi perempuan berusia 11 bulan dan bayi lelaki berusia sembilan bulan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kejadian dan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 019-8822403 untuk membantu siasatan.

Semalam, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu mengundang marah netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 11:55am
d