mutakhir

'Sejarah memihak Sanusi, undang-undang memihak kepada kami' [METROTV]

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Butterworth: Kerajaan Pulau Pinang kini menunggu tindakan lanjut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang menyatakan kesediaan untuk ke mahkamah berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya yakin untuk berdepan tuntutan itu dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai satu daripada negeri dalam Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia, katanya, diperkuatkan lagi dengan adanya Akta Kedah Pulau Pinang-Kedah Pengubahan Sempadan 1985 (Akta 325) yang menjelaskan secara terperinci kedudukan sempadan kedua-dua negeri berkenaan.

"Inilah lunas undang-undang yang mengawal selia sempadan negeri-negeri di seluruh negara. Maka kita masih bergantung kepada undang-undang dan kalau Sanusi rasa sejarah memihak kepada dia, memang benar sejarah memihak kepada dia.

"Undang-undang memihak kepada kami, undang-undang tidak memihak kepada Sanusi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Penang 2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Sungai Puyu, di sini hari ini.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah semalam bahawa beliau mempunyai banyak 'sandaran' dalam isu berkenaan, Kon Yeow berkata, terpulang kepada Muhammad Sanusi untuk mengemukakan bukti kepada mahkamah berhubung perkara itu.

"Kita tunggu dia ambil tindakan. Saya setiap kali ditanya, jawapan saya ringkas, padat dan senang, jumpa di mahkamah. Maksudnya dia perlu ambil tindakan sebab dia yang tuntut, bukan kami yang ingin tuntut.

"Jadi itu terpulang kepada tindakan beliau untuk teruskan. Apapun kita akan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang," katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi juga dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat polis berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 7:04pm
d