mutakhir

300,000 pengunjung meriahkan KJH Selangor Generasi Muda [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Shah Alam: Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam mendapat sambutan hangat lebih 300,000 pengunjung sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar berkata, ia sekali gus menjadikan lokasi pertama KJH tahun ini melepasi sasaran awal kehadiran pengunjung.

Katanya, banyak kelainan ditampilkan di KJH termasuk yang bertujuan menarik kehadiran golongan belia.

"Kita berterima kasih kepada warga Lembah Klang yang tidak putus-putus berikan sokongan kepada KJH yang dianjurkan di lokasi pertama pada tahun ini," katanya ketika ditemui di KJH hari ini.

Hadir sama melawat reruai KJH ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

KJH kali ini mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Selangor khususnya Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri sekali gus berupaya menjadi medan mendekati golongan muda dan masyarakat majmuk menerusi penganjuran aktiviti berkonsepkan kekeluargaan serta sukan.

Dalam pada itu, Mohd Efendi berkata orang ramai masih berpeluang hadir ke KJH di Dataran Karnival Stadium Shah Alam kerana terdapat banyak aktiviti dan barisan artis yang menjayakan konsert malam ini.

Dalam pada itu katanya, selepas Shah Alam, KJH akan ke empat lokasi lain selepas ini iaitu di pantai timur, utara, selatan dan di Borneo.

Beliau berkata, setiap empat tempat itu mempunyai kelainan masing-masing bergantung kepada konsep yang ingin dibawakan dan bersesuaian.

"Setiap tempat kita akan buat kelainan bergantung kepada konsep yang kita rasa bersesuaian untuk tempat tersebut.

"Insya-Allah kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan syarikat-syarikat korporat yang berminat untuk sama-sama berkongsi keriangan kepada masyarakat setempat," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 2:40pm
d