mutakhir

Baru dua bulan bebas, penebang pokok ditahan semula kerana miliki pistol [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Baru dibebaskan dari penjara dua bulan lalu, seorang penebang pokok ditahan semula, semalam kerana memiliki sepucuk pistol bersama enam butir peluru.

Suspek berusia 40 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Air Murbo, di sini jam 2.55 petang, susulan laporan diterima pihak polis berkaitan suspek yang mengamuk dan mengugut mencederakan ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, terdahulu, suspek dikatakan ingin meminjam motosikal milik anaknya namun tidak dibenarkan menyebabkan dia mengamuk dan mengugut untuk mencederakan ahli keluarga.

"Suspek kemudian keluar dari rumah dengan membawa beg silang yang mengandungi sepucuk pistol.

"Suspek kemudian pulang semula ke rumah dan ditahan polis. Pemeriksaan dalam beg silangnya menemui sepucuk pistol jenis Revolver S/W 357 Magnum Smith/Wesson bersama enam butir peluru," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Haki berkata, suspek mendakwa pistol itu dipinjam daripada seorang rakannya sejak dua minggu lalu kononnya untuk perlindungan dari binatang buas kerana lelaki itu bekerja sebagai penebang pokok.

Katanya, turut ditemui lima biji pil kuda dipercayai milik suspek sendiri dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampethamine.

"Semakan juga mendapati suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Jun bagi siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penaliti Lebih Berat 1971; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Untuk Seksyen 8 Akta Senjata Api Penaliti Lebih Berat 1971, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih dari 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 2:47pm
d