mutakhir

Pengunjung serbu jualan gudang pakaian sukan di KJH

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Shah Alam: Pengunjung hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam di sini hari ini menyerbu reruai menjual pakaian sukan Blackrino yang menawarkan harga serendah RM10 sehelai.

Pengasas Blackrino, Amran Abu Bakar, 51, berkata, potongan harga jersi dan seluar sukan itu dibuat sempena jualan harga gudang KJH.

"Stok yang dijual adalah stok sebelum Covid-19 manakala rekaan pakaian ini dihasilkan saya sendiri dan pasaran Blackrino sebenarnya adalah untuk golongan B40," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Amran berkata, pihaknya membawa kira-kira 25,000 helai pakaian sukan sempena tiga hari KJH dan ia turut mendapat sambutan menggalakkan oleh pengunjung.

"Ini pertama kali saya sertai KJH. Mula-mula itu rasa takut juga tak dapat sambutan dengan keadaan ekonomi sekarang.

"Tapi Alhamdulillah sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan. Insya-Allah kalau ada KJH di tempat lain saya akan turut serta," katanya yang berpengalaman empat tahun berniaga pakaian sukan.

Menurut Amran, KJH memberi peluang kepada peniaga sepertinya untuk memasarkan barangan sekali gus membolehkan ia dikenali ramai.

"Aktiviti seperti ini amat baik untuk peniaga membuat jualan dan sebenarnya salah satu cara pemasaran untuk bagi orang nampak jenama kita," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Fadlan Adikaryadin, 22, berkata, ini adalah kali pertama dia mengunjungi KJH bersama keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai operator kilang turut berpandangan KJH adalah aktiviti yang sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Selain ada pelbagai aktiviti menarik, KJH menyediakan banyak jualan barangan promosi pada harga yang amat berpatutan bahkan jauh lebih murah," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:07pm
d