mutakhir

Polis tahan 26 wanita warga asing, 10 lelaki pada Op Noda

Oleh Izz Laily Hussein

Iskandar Puteri: Seramai 36 individu ditahan pada Op Noda yang dijalankan di sebuah kelab malam dekat Taman Bukit Indah di sini, awal pagi tadi.

Pada operasi yang dijalankan antara 2 pagi hingga 5 pagi, mereka yang ditahan terdiri daripada 26 wanita warga asing dan 10 lelaki berusia 20-an hingga 40-an.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pada operasi penguatkuasaan membabitkan aktiviti pelacuran dan pusat hiburan itu, mereka yang ditahan turut didapati melakukan pelbagai kesalahan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39B, Seksyen 55B dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/53 serta Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor.

"Lima individu juga didapati positif dadah ketika serbuan. Dua lelaki tempatan yang juga pelanggan kelab malam berusia 30-an dan 50-an turut didapati berada dalam senarai dikehendaki atas kesalahan dadah serta jenayah," katanya pada kenyataan, hari ini.

Op Noda dijalankan seiring dengan satu Operasi Bersepadu bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Polis Bantuan UEM Sunrise yang dilaksanakan di sekitar kawasan pentadbiran polis daerah itu.

Menurut Rahmat, 183 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 41 kenderaan turut disita kerana kesalahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Setiap agensi yang terbabit dalam operasi ini turut menjalankan penguatkuasaan mengikut akta atau undang-undang yang diperuntukkan di bawah agensi masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:13pm
d