mutakhir

Mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali mahu kerajaan dedah laporan siasatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Kami bukan saja tidak dapat menuntut insurans kenderaan yang musnah, lebih mengecewakan tidak dapat buat tuntutan lanjut kerana tiada laporan penuh siasatan malah kami sendiri tidak tahu apa punca kejadian walaupun sudah lebih enam bulan berlalu," kata Wong Wai Foong.

Wai Foong, 36, antara mangsa terselamat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, pada 16 Disember tahun lalu, kecewa terhadap kerajaan kerana tidak mengeluarkan laporan penuh siasatan tragedi itu.

Beliau bersama kira-kira 30 mangsa dan waris secara kolektif menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.

Menurutnya, mereka belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai kejadian itu daripada semua pihak terbabit sedangkan surat permohonan sudah dihantar sejak Mac lalu.

"Surat itu dihantar kepada beberapa agensi termasuk Kementerian Kerja Raya dan Pejabat Menteri Besar Selangor seperti mana kenyataan Datuk Seri Amirudin Shari sendiri pada Februari lalu yang meminta mangsa berbuat demikian.

"Namun, sehingga kini kami tidak menerima jawapan dan masih tertanya-tanya apakah yang berlaku sehingga menghalang pihak berkuasa daripada mengeluarkan laporan penuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengimbau kembali tragedi yang meragut 31 nyawa termasuk 13 kanak-kanak, Wai Foong ke tapak perkhemahan itu bersama isteri, dua anak berusia 10 bulan dan empat tahun serta enam rakan.

Katanya, mereka sedang tidur sebelum terdengar bunyi pokok patah disusuli dentuman kuat lalu berlari keluar dan melihat tanah runtuh melimpah di kawasan perkhemahan.

Beliau bersama isteri dan rakan yang terselamat kemudian membantu mengeluarkan beberapa mangsa lain yang tertimbus sebelum mereka terpaksa berlari menyelamatkan diri berikutan berlaku runtuhan kali kedua.

"Kami hanya sempat selamatkan diri manakala kenderaan tidak dapat dibawa keluar walaupun tidak ditimbus tanah. Tapi apa yang pelik bila kenderaan dibawa keluar, ia rosak sepenuhnya manakala barang di dalamnya juga hilang," katanya yang masih trauma.

Justeru, beliau mengharapkan laporan siasatan dapat memberi penjelasan dan terdapat pihak bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Sementara itu, Loh Teng Shui, 45, yang kehilangan anak lelaki Zech Loh Qi Yi, 7, selepas maut dalam tragedi itu kecewa apabila tiada mana-mana pihak tampil memberi penjelasan berhubung siasatan setakat ini.

"Kami tidak tahu jabatan mana yang hendak dituju dan pihak berkuasa mana untuk dihubungi untuk dapatkan laporan siasatan.

"Kami berharap kerajaan dapat menyediakan saluran yang betul dan mendedahkan hasil siasatan mereka," katanya.

Beliau berkata, waris dan mangsa memerlukan laporan akhir dengan segera bagi membolehkan mereka mengambil langkah ke hadapan.

Tragedi pada kira-kira jam 2.30 pagi 16 Disember itu membabitkan 92 mangsa, dengan 31 terkorban manakala 61 terselamat.

Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.

Tanpa mendedahkan inti pati laporan itu, beliau dipetik berkata, laporan awal bencana tanah runtuh yang disediakan kementeriannya menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:39pm
d