mutakhir

KL International Hospital sumbang RM2 juta kepada KKM

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur International Hospital Sdn Bhd akan menyumbang RM2 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong keperluan perubatan golongan B40.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif untuk menyediakan kemudahan rawatan perubatan kepada golongan B40 membabitkan peruntukan RM2 juta.

"Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik inisiatif KL International Hospital Sdn Bhd untuk menyediakan kemudahan rawatan perubatan kepada golongan B40 membabitkan peruntukan RM2 juta.

"Sumbangan ini meningkatkan usaha kerajaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh diakses kepada masyarakat kurang bernasib baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kemudahan 624 katil KLIH di KL Welness City di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari; serta Pengarah Urusan KL Welness City Sdn Bhd, Datuk Dr Collin Lee.

Pada majlis itu, KL International Sdn Bhd turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) Biasiswa Kejururawatan bersama enam institusi pengajian yang disaksikan oleh Dr Dzulkefly.

Sementara itu, Dr Collin berkata, pemberian sumbangan berkenaan adalah inisiatif syarikat sejajar misi kesejahteraan komuniti dan menyokong matlamat KKM dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan golongan kurang bernasib baik.

"Ikrar ini datang tepat pada masanya selepas pelancaran program Health Equity For Affordable and Rapid Treatment (HEART) baru-baru ini, yang menawarkan rawatan percuma kepada pesakit hospital kerajaan.

"Ini meningkatkan lagi komitmen KKM terhadap penjagaan kesihatan yang boleh diakses melalui kerjasama awam dan swasta," katanya.

Beliau berkata, KLIH yang sedang dalam pembinaan itu bukan saja akan dilengkapi kemudahan terkini tetapi juga ekosistem penjagaan kesihatan yang canggih.

Katanya, ia mewakili komitmen pihaknya untuk meningkatkan taraf hidup melalui kesejahteraan dan penjagaan kesihatan bersepadu, menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan perubatan di Malaysia serta Asia Tenggara.

Hospital dengan 624 katil dan berpotensi diperluaskan kepada 1,000 katil itu, akan menawarkan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu termasuk fasiliti kesihatan serta kecergasan.

Ia akan dilengkapi dengan dengan teknologi canggih dan peralatan perubatan terkini seperti 22 dewan bedah (OT) termasuk angio hibrid, pengimejan resonans magnetik (MRI) OT serta pembedahan robotik.

Disiarkan pada: May 2, 2024 @ 10:54pm
d