mutakhir

Mamat Exists didenda RM5,000 kerana ambil dadah

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Vokalis Exists, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.

Di Mahkamah Sesyen, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat menjalani dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong dekat Pahang untuk rawatan dan pemulihan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mamat pelantun suara lagu Untukmu Ibu didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis Methamphetamine, kira-kira jam 2 pagi pada 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Mamat didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Sementara itu, Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Mamat yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram pada jam 11.35 malam di Taman Perling pada 8 September 2019.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Mamat membayar kedua-dua denda tersebut.

Disiarkan pada: July 8, 2024 @ 3:29pm
d