pks

Kimchi cita rasa Malaysia

Oleh Hajar Umira Md Zaki

MARIMOGO HQ kini teguh menempa nama dalam pasaran produk berkonsepkan makanan Korea hingga mampu mempunyai kilang pemprosesan sendiri.

Pengarah Urusannya, Farah Nabila Azman berkata, pihaknya berupaya memproses sehingga satu tan pes jajangmyun dan 150 kilogram kimchi setiap hari.

"Produk kimchi di Marimogo menjadi keistimewaan kerana kami mengikut cita rasa Malaysia.

"Pada awalnya, agak susah untuk kami masuk ke pasaran kerana rasa kimchi yang pelik bagi mereka yang belum biasa dengan makanan ini.

"Namun, dengan pengaruh rancangan televisyen kami percaya rakyat Malaysia lebih bersikap terbuka sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, bagi mengekalkan kesegaran kimchi, pihaknya menitikberatkan kualiti sayur digunakan.

"Bahan bagi membuat kimchi mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Korean Muslim Federation (KMF) serta menggunakan bahan organik," katanya.

Menurutnya, pelanggan boleh mendapatkan satu pek kimchi 400 gram pada harga RM22 sahaja dan boleh dihidangkan untuk tiga hingga empat orang.

Sementara itu, Marimogo turut menyediakan pes tteobokki serta mengimport produk dari Korea Selatan yang halal dan bahan bagi sajian Korea di rumah.

"Kami menembusi pasaran di Malaysia pada awal 2017 dan pada masa itu makanan Korea masih kurang mendapat sambutan.

"Kini, kami mempunyai pelanggan tetap yang mengikut sejak awal pengeluaran produk Marimogo dan pelanggan baharu," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2021 @ 7:33am
d