pks

Yakin jual 1,000 kotak

Oleh Mary Victoria Dass

PRODUK minuman coklat berkhasiat, BF Slimmy Chocolate With Oat Flakes yang menjadi pembekal tenaga seharian, sekali gus membantu mengekalkan berat badan ideal diyakini dapat menembusi pasaran seluruh negara sebelum akhir tahun ini.

Pengasasnya, Zainora Mohd berkata, minuman yang menggabungkan kelazatan, khasiat dan tenaga mampu membantu pelbagai peringkat umur untuk tampil aktif dan ceria sepanjang hari.

Menurutnya, produk berkenaan mengandungi pelbagai bahan semula jadi termasuk bijirin, kurma, madu, buih zaitun, habbatus sauda, vitamin C, badam dan serbuk koko.

Menurutnya, hidangan minuman coklat itu mudah dibancuh dan sesuai diminum pada bila-bila masa.

Katanya, dia dan rakan kongsinya menjadi testimoni pertama produk berkenaan dan berjaya mencapai berat badan seimbang mengikut Jisim Indeks Tubuh (BMI) masing-masing.

"Hanya dalam tempoh empat bulan, saya mampu menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram dengan mengamalkan diet seimbang dan sudah tentu BF Slimmy Chocolate With Oat Flakes pengganti salah satu hidangan harian.

"Bagaimanapun, bagi setiap individu, tempoh bagi mencapai berat ideal adalah berbeza kerana ia bergantung kepada metabolisma tubuh masing-masing," katanya.

Sementara itu, rakan kongsinya, Shakirah Mohd Rashid berkata, dia dan rakannya yakin penjualan produk akan mendapat lebih sambutan secara dalam talian.

Menurutnya, bergelar suri rumah yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan keluarga tidak menghalang dia dan rakannya untuk berganding bahu mencipta produk minuman coklat berkhasiat pada Februari lalu.

Ia berikutan dia dan rakannya turut memiliki berat badan berlebihan dan pada masa sama mereka juga ingin membantu keluarga menambah pendapatan.

Katanya, salah suatu caranya adalah dengan menghasilkan produk minuman berkhasiat, sekali gus membantu individu mengekalkan berat badan ideal.

Setiap kotak BF Slimmy mengandungi 10 peket berisi serbuk minuman coklat berkenaan dan ia juga memiliki pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehingga kini kami berjaya menjual lebih 300 kotak minuman dan yakin sebelum hujung tahun mampu mencecah angka melebihi 1,000 kotak," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:20am
d